Mencari harga diri dalam puji dan keji

Ini bukan tulisan saya. sekadar perkongsian...

“Demi Allah, wahai bapa saudaraku, andai kata mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, agar aku meninggalkan perkara ini (Islam), nescaya aku tidak akan meninggalkannya sampai Allah memenangkan perkara itu atau aku hancur kerananya!”

Terharu saya mengenangkan kisah yang satu ini. Tatkala umat Islam awal, dihimpit kesusahan, ditindas dan dinafikan hak mereka sebagai manusia. Dalam kelelahan mendidik dan mentarbiyah manusia yang degil tidak mengerti hakikat hidup seorang hamba, ditambah pula dengan ‘hadiah-hadiah’ yang diterima demi harga sebuah dakwah, bukan setakat dibaling batu bahkan dibaling najis. Dalam ranjau yang tak berkesudahan hingga tak ternampak sinarnya akan tertegak agama ini suatu hari nanti, Rasullullah terus tega menolak pelawaan harta, wanita, pangkat dan kesenangan yang ditawarkan oleh bapa saudara yang amat dicintainya.

“….. sampai Allah memenangkan perkara itu atau aku hancur kerananya!”

Allahuakbar! Tentu sahaja ketegasan ini bukan calang-calang, bukan sekadar bermain bahasa atau menunjukkan ego diri membabi buta. Bahkan kerana yakinnya dengan janji-janji Allah, dakwah terus digerakkan walaupun jalannya penuh ranjau dan cabaran.

Saya amat terkesan dengan teganya Nabi menolak kesenangan, walaupun dakwahnya ketika itu hanya mampu menarik segelintir kecil kaum Quraisy. Lihat sahaja kisah ketika dakwahnya di Taif ditolak, bahkan baginda dan Zaid bin Harithah dihalau dalam keadaan yang sangat hina dan dibaling kayu dan batu hingga dikisahkan darah yang berlumuran dari tubuh baginda memenuhi sepatu yang dipakai. Bayangkan baginda berjalan berbatu-batu membawa harapan umat Islam yang lain yang ketika itu baru lepas peristiwa pemulauan. Ditambah dengan kesedihan akibat kehilangan bapa saudara dan isteri yang dicintainya. Akhirnya, baginda dihambat pulang seperti binatang hinggakan malaikat yang fitrahnya tidak bernafsu turut menawarkan untuk menghempap gunung/bukit ke atas penduduk Taif.

Secara fitrahnya manusia, dalam keadaan emosi yang cukup sedih, tertekan dan tidak stabil dan perjalanan baginda untuk membebaskan penduduk Taif dari neraka dengan membawa risalah dakwah dibalas sedemikian rupa, tentulah kita juga tidak akan terkejut jika baginda menerima pelawaan malaikat tersebut. Namun mulianya hati seorang Muhammad, bukan sahaja menolak tawaran bahkan mendoakan generasi akan datang Taif beriman kepada Allah.

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

(Al-Ahzab : 21)

Jika itulah teladan yang ditunjukkan baginda, untuk jangan berkecil hati dalam mendepani kerenah manusia dalam usaha menegakkan agama, sejauh mana kita bersedia bertegas memegang prinsip “sampai Allah memenangkan perkara itu atau aku hancur kerananya!”

ketika diuji dengan kerenah birokrasi dan sikap manusia yang pelbagai hingga mengundang lelah.

Tubuh Letih, Jiwa Pedih

Saya pernah terlibat dengan rakan-rakan yang lain menyediakan juadah berbuka puasa (iftar) saban minggu di surau. Pernah suatu ketika, kami pulang dari kelas agak lewat dan dalam keletihan berpuasa, terkejar-kejar pula menyediakan iftar agar rakan-rakan yang lain dapat berbuka pada masanya. Dengan berpeluh-peluh kami membawa turun juadah untuk disantap bersama namun seusai bilal melaungkan azan dan jemaah leka bersantap, kami yang baru sempat mencapai cawan untuk meneguk air untuk berbuka dapat menangkap beberapa ayat yang mencabar iman dan kesabaran;

“apa rasa masin ni? Tak sedap langsung,”

“air tawar la, kedekut gula betul,”

Kalaulah tidak mengenangkan sia-sia pahala berpuasa, mahu sahaja bertikam lidah di situ. Mungkin niatnya bergurau, namun fitrahnya manusia bila segala penat lelah tidak dihargai akan menimbulkan rasa kecil hati yang kadang-kadang mengundang benci.

Bahkan sepanjang keterlibatan saya bersama rakan-rakan dalam program iftar, kami banyak dilanda ujian berdepan dengan kerenah manusia. Jangan kata berterima kasih, bahkan kalau berlaku kekurangan atau juadah tidak menepati selera mereka, bersedialah untuk dikritik. Tidak kurang juga diuji dengan kerenah birokrasi manusia sehingga pada suatu ketika seperiuk gulai daging korban yang kami habiskan masa dan tenaga untuk memasaknya selepas pulang dari kelas, menjadi habuan tong sampah gara-gara salah faham dan lemahnya kesabaran manusia.

Menganggotai majlis perwakilan pelajar membuka lebih ruang untuk kami belajar jangan berkecil hati. Jika ada kekurangan atau kecacatan program yang dilaksanakan, tolak ke tepi segala usaha kami tidak tidur malam berhari-hari, berpinar kepala memikirkan perjalanan program agar berjalan lancar, menahan sabar dengan orang atasan dan sebagainya, segala usaha itu pasti dibakulsampahkan dek satu titik kekurangan.

Untuk Apa Aku Di Sini Lagi

Baru-baru ini, di azzariyat.com ramai yang berdoa moga ditabahkan hati tsabat di atas jalan dakwah ini. Sehingga salah seorang editor sendiri terfikir, apalah gunanya beliau menulis artikel saban hari untuk pelajar-pelajar JAD yang entahkan dibaca entahkan tidak..

“aku buat kerja dakwah, habiskan masa main, kurangkan masa studi, akhirnya apa yang aku dapat?” keluh seorang dai’e.

“aku penat-penat usaha pun, bukan ada orang hargai,” monolog seorang pemimpin.

“kau ni gila kuasa, lepas tu mulut tu celupar, tak pandai nak hargai perasaan orang, buat keputusan ikut suka hati je ………….. ,” terduduk seorang MPP mendapat komen tersebut.

Persoalan-persoalan ini cukup untuk menjadi alasan gugurnya seorang dai’e dari medan dakwah, gugurnya seorang pemimpin dalam medan juang, gugurnya seorang aktivis dalam medan amal. Betapa besarnya kuasa ‘kecil hati’.

Bagi seorang penggiat aktiviti masyarakat tidak kira dia bergerak atas tiket agama atau sosial, cabaran emosi paling rumit untuk istiqamah melakukan kerja-kerja pembaikan adalah apabila manusia mahu dihargai manusia lain.

Jangan terkejut jika manusia lupa pada segala jasa dan sumbangan anda bertahun-tahun, dan anda disisihkan kerana satu kesalahan yang anda lakukan. Senior lupa jasa junior yang saban minggu mengorbankan masa menadah teling dalam perjumpaan smart group. Junior lupa jasa senior yang bersengkang mata mencari modal berkongsi ilmu. MPP lupa jasa pelajar yang sabar meraikan program walaupun hati memberontak. Pelajar lupa jasa MPP yang mengorbankan masa dan tenaga saban hari untuk keselesaan hidup mereka.

Jangan kecundang dek emosi apabila dikritik bahkan dihina kerana perkara ini akan berlaku berulang-ulang kali sehingga anda memutuskan untuk berhenti melangkah di medan juang ini. Manusia tidak akan pernah peduli segala susah payah yang anda lalui, mereka cuma akan menilai hasil yang mereka perolehi.

Jika kita mengharapkan segala kebaikan kita dihargai dan dipuji, kita telah tersilap planet. Makhluk di bumi ini akan senantiasa mengkritik setiap tindakan anda sampai hari kiamat, tiada pejuang atau pendakwah yang pernah terkecuali daripada ketetapan ini. Hal ini perlu dimuhasabahkan dari awal oleh kita semua, agar dengan itu kita mampu bersiap siaga dan tidak gugur apabila diacah sindiran dan kritikan.


Jangan Kecil Hati : Bukan Alasan Tidak Muhasabah Diri

Betapalah susahnya memuaskan hati setiap manusia. Bahkan hingga memilih pakaian untuk keluar rumah jadi sulit jika hati setiap manusia menjadi hakimnya. Maka tanamkan sahaja prinsip, buat kerja biar jadi ibadah, tanamkan semangat buat kerja kerana Allah. Segala kritikan perlu diambil kira untuk membuka ruang perubahan namun bukan semua harus diambil membabi buta. Teruslah bekerja dan membuat keputusan mengikut apa yang Allah mahu, bukan apa yang kita atau manusia lain mahu. Jika Allah yang menjadi hakimnya, pasti kita berpijak di jalan yang benar, kerana kita menjadikan landasan dan kepentingan Allah sebagai panduan.

Saya teringat sebuah sajak :

Mother Teresa’s Anyway Poem

People are often unreasonable, illogical and self centered;
Forgive them anyway.

If you are kind, people may accuse you of selfish, ulterior motives;
Be kind anyway.

If you are successful, you will win some false friends and some true enemies;
Succeed anyway.

If you are honest and frank, people may cheat you;
Be honest and frank anyway.

What you spend years building, someone could destroy overnight;
Build anyway.

If you find serenity and happiness, they may be jealous;
Be happy anyway.

The good you do today, people will often forget tomorrow;
Do good anyway.

Give the world the best you have, and it may never be enough;
Give the world the best you’ve got anyway.

You see, in the final analysis, it is between you and your God;
It was never between you and them anyway.

“You see, in the final analysis, it is between you and your God;
It was never between you and them anyway.”


Kerana yang menciptakan hidup dan mati untuk diuji siapakah yang terbaik amalannya di antara kita, bukan mereka bahkan DIA. Jika masih lagi mengharapkan pujian dan penghargaan, renung sahaja ayat ini :

“Dan sedikit sahaja dari kalangan hamba-Ku yang bersyukur” (Saba 34: 13)

Sedangkan Allah yang setiap saat tanpa tidur dan terlupa, sentiasa memberikan selautan nikmat kepada kita walaupun tidak diminta, namun akhirnya sedikit sahaja manusia yang bersyukur kepada Allah. Jika pada tuhan sekelian alam, begitulah fitrah manusia, apatah lagi pada kita. Berhentilah berharap pada penghargaan, dan kemaskan langkah perjuangan walaupun berseorangan.

Jangan kecil hati.

Moga tabah hati, tak berbelah bahagi, kerana Allah sentiasa memerhati, walau manusia tak pernah mengerti.
(suka sangat ayat ni)


Diambil dari http://azzariyat.com/ untuk dijadikan pedoman oleh kita semua. Memang dah dalam genetikku[huh??] saya memang kurang selesa dengan pujian tapi kadang2 rasa lemah juga bila dikritik, dihentam, dan tindakan kita tidak difahami oleh makhluk bernama manusia. huhuhu. jadi di masa rasa lemah tu, kenanglah nabi kita yang dihina lebih teruk dari itu namun baginda tidak pernah berputus asa dengan ujian dunia. moga kaki terus melangkah ke hadapan dan kritikan dan teguran menjadikan diri lebih kuat untuk memperbaiki kelemahan diri ini~


3 Responses so far.

  1. babe..
    aq sng je menda2 nih
    "TAK HIDUP DEK PUJI,X MATI DEK KEJI" sekian...tp sajak mother theresa tuh best!

  2. fArHaNa says:

    laju je ko eh anum..tetibe nmpk je komen..hohoho.
    ye btul btul. dah g blaja la exam mgu dpan!!! dtg cni cepat!

  3. salam,
    sabar dan doa adalah yg terbaik utk dilakukan klu kena ujian mcm ni,
    jgn peduli kutukan org,
    klu perlu diimprove just do it,
    pasal yg lain masuk telinga kanan kluar telinga kiri,
    tp jgn lupa utk menutup mulut org2 mcm ni dgn buat improvement next time,
    org tu pun bkn bleh buat mcm yg dia mintak tu pun,
    ckp je lebih...

Reminder for the soul

“Aku hairan dengan orang yang mengetahui kematian, tapi mengapa ia masih tertawa;

Aku hairan dengan orang yang tahu bahawa dunia adalah sementara, tapi mengapa ia sangat mencintainya;

Aku hairan dengan orang yang mengetahui semua urusan telah ditakdirkan, tapi mengapa ia takut kehilangan;

Aku hairan dengan orang yang mengetahui bahwa hisab adalah suatu kepastian, tapi mengapa ia tetap mengum
pulkan harta dan menghitung-hitungnya;

Aku hairan dengan orang yang mengetahui panasnya api neraka, tapi mengapa ia tetap berbuat dosa;

Aku hairan dengan orang yang mengaku mengenal Allah, tapi mengapa ia meminta tolong kepada selain-Nya;

Aku hairan kepada orang yang mengaku mengetahui kenikmatan syurga, tapi mengapa ia merasa hidup tenang di dunia;

Dan aku hairan kepada orang yang mengetahui syaitan adalah musuhnya, tapi mengapa ia mentaatinya.”

Uthman bin Affan Radhiyallahu anhu
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Masa umpama pedang