Assalamualaikum~
Apa khabar kawan-kawan, rakan taulan? Sihat?
-------------
*Artikel kali ini agak berat dan panjang, namun SANGAT PENTING bagi sesiapa yang agama dalam kad pengenalan, IC, atau apa-apa dokumen pengenalan diri adalah Islam.(termasuk juga yang memeluk Islam secara rahsia). Bacalah sampai habis. Biarlah bukak tutup bukak tutup blog ni sepuluh kali sekalipun, berusahalah untuk fahamkan. BACALAH SAMPAI HABIS. Baca sampai lunyai untuk paham pun tak pe.
*eh ini bukan buku jadi mana boleh lunyai* Sekian.*
----------
Seperti yang kita tahu, syarat untuk seseorang memeluk Islam yang pertama adalah dengan mengucapkan dua kalimah syahadah.
Rasulullah bersabda: "Barang siapa yang berkata (bersaksi) – 'Tiada tuhan melainkan Allah' dan ia kufur dengan apa yang disembah selain daripada Allah, (maka) haram (terpeliharalah) harta dan darahnya. Perhitungannya adalah di atas ketentuan Allah."
(Hadis riwayat Imam Muslim)
Allah mengharamkan darah seorang muslim... Kata kuncinya adalah MUSLIM.
Namun apakah yang dikatakan seorang muslim itu? Cukupkah dengan hanya bersyahadah dia sudah dikira sebagai muslim? Sedangkan kalimah itu sebenarnya membawa makna yang sangat besar dalam hidup seseorang...
Jom kita kaji syarat-syarat penerimaan syahadah bagi seorang muslim. Ada 7 kesemuanya...
“Orang-orang Arab Badui itu berkata: "Kami telah beriman ." Katakanlah: "Kamu belum beriman, tapi katakanlah 'kami telah tunduk', kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Hujurat : 14)
1-Mengetahui Maksud Syahadah dan Tuntutan Iman
Sekadar mengucapkan kalimah syahadah tanpa mengetahui maksudnya, tidak membawa makna apa-apa...
Contohnya, non-muslim yang sekadar menyebut kalimah syahadah, tanpa mengetahui apa maksudnya, apa implikasinya, tidaklah menjadikan dia seorang muslim.
Samalah juga seperti kita.
Adakah kita sebagai muslim menyedari betapa besarnya makna syahadah yang sering kita lafazkan?
Mengetahui tentang Tauhid kepada Allah swt sangatlah penting dan cemas kerana kita diperintahkan mentauhidkan Allah swt dan Syahadah bermaksud menafikan ibadah kecuali hanya kepada Allah swt dan menyembah hanya kepada Allah swt oleh itu kita perlu mengetahui bagaimana dan caranya.
Mengetahui maksudnya belum cukup... Jom melangkah ke syarat seterusnya..
2- Meyakini Iman dan Syahadah Lailahaillallah tanpa Syak dan ragu
Untuk 'pengakuan' kita (syahadah) diterima, syarat keduanya adalah YAKIN. YAKIN tanpa SYAK dan RAGU.
Keyakinan yang disebutkan ialah bermaksud pegangan kukuh dan kepercayaan jitu bahawa tidak sampai dan tidak dapat dicapai syurga dan keredhaan Allah itu melainkan dengan memiliki Iman dan bersyahadah. Juga menyakini dengan pasti dan penuh kepercayaan bahawa semua yang dibawa oleh rasulullah itu benar, janji Allah itu benar, rukun iman itu benar dan mempercayainya serta menyakini kewajipan bersyahadah dan menyakini dengan pasti bahawa syahadah itu kunci kepada syurga.
Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. mereka Itulah orang-orang yang benar.” (Al-Hujurat : 15)
Tidak akan dianggap beriman orang yang berasa ragu-ragu pada agama Allah.
Tidak yakin pada janji-janji Allah.
Orang yang yakin akan janji-janji Allah, mereka inilah yang disebutkan oleh Allah sebagai orang yang memiliki sifat Ihsan...
Apa itu ihsan?
Ihsan iaitu beribadah kepada Allah seolah-olah mereka melihat Allah kerana menyakini kebenaran agama ini dan sekiranya mereka tidak dapat melihat Allah swt maka mereka tetap menyakini bahawa diri mereka dilihat oleh Allah swt lalu di dalam kelemahan dan kekuatan, di dalam suka atau terpaksa mereka tetap menunaikan kewajipan mereka kerana menyedari dan menyakini mereka diperhatikan oleh Tuhan Yang Maha Gagah.
3- Penerimaan yang menyeluruh dan penyerahan yang mutlak terhadap Islam
Dimaksudkan qabul ialah menerima dan Istislam pula bermaksud penyerahan diri yang bersifat mutlak terhadap apa yang datang daripada Allah swt. Seorang Muslim itu tidaklah dianggap beriman sehingga dia menerima segala apa yang datang daripada Allah swt dan melaksanakannya serta dia wajib MENYERAH diri, kehidupan, masa depan, kebahagiaan, keseronokkan segala-galanya yang di akal sangkaan konon miliknya itu harus diserahkan semuanya kepada Allah swt.
Tidaklah dianggap sebagai Muslim seseorang yang menolak apa yang datang daripada Allah swt dan tidak mahu menerimanya kerana tidak suka atau sukar menunaikan perintah yang datang.
Apabila seseorang itu benar-benar memahami apa maksud syahadah yang dilafazkannya, dia telah menyerahkan diri pada Allah sepenuhnya, dan tidak menolak apa yang datang dariNya, atau tidak menerima dan melaksanakannya kerana tidak suka atau sukar melaksanakan perintah yang datang.
Ucapan yang dibenarkan untuk diucapkan oleh setiap manusia yang beriman takala datang perintah daripada Allah ialah “Kami dengar dan kami taat.” (Rujuk surah Al-Baqarah ayat 285)
Firman Allah swt yang bermaksud : “Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan. "Kami mendengar, dan Kami patuh". dan mereka Itulah orang-orang yang beruntung.” (An-Nur : 51)
Masih ada lagi... Sudah menyerah masih belum cukup? Ya, belum sempurna lagi.
Tak larat nak baca? Rehatkan mata jap, lepas tu sambung. Penting ni penting ni :)
4- Ketaatan dan Pelaksanaan Amal Terhadap Apa yang diPerintahkan
Apa yang dimaksudkan menyerah daripada ayat surah an-Nur di atas adalah dengan patuh.
Setiap larangan dan tegahan Allah swt perlu ditinggalkan dan mesti dijauhi dan usaha dilakukan untuk mencegah diri daripada terjebak ke dalam kemurkaan-Nya.
Adalah tidak benar menjadikan alasan tidak mampu, tidak kuat dan tidak bersedia sebagai alasan untuk tidak mentaati Allah swt dan tidak kuat sebagai alasan untuk terjebak di dalam perkara yang haram.
Allah memerintahkan kita untuk beramal dan setiap arahan itu perlu dilaksanakan.
Tidak mampu, lemah, tidak berdaya, tiada kekuatan hanya dapat dijadikan alasan SETELAH KITA BERUSAHA dan telah melakukannya dan telah gagal setelah mencuba dan akhirnya tewas serta terkorban di dalam usaha melaksanakan perintah tersebut dan begitulah kita diperintahkan.
5- Membenarkan dan memperjuangkan Iman dan Tuntutan Syahadah
Maksud syarat kelima adalah memperjuangkan isi Iman dan tuntutan syahadah tersebut kepada semua manusia dan makhluk di atas muka bumi dan berusaha menegakkan kalimah Allah swt dan hukumnya serta memastikan kalimah tauhid tertegak dan tidaklah ada sekutu bagi Allah swt di atas muka bumi ini seorang pun, sedikit pun dan apa-apa jua sekutu bagi Allah.
Agama ini memerlukan keimanan pengikutnya diuji dan dibuktikan melalui amalan dan jika tidak dilakukan ketahuilah bahawa dirimu belum beriman dan Iman mu tidak benar dan engkau masih seorang kafir.
Firman Allah swt yang bermaksud : “Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ihwalmu.” (Muhammad : 31)
Allah akan menguji hamba-hamba-Nya untuk mengetahui kebenaran Iman masing-masing dan tuntutan syahadah harus dibenarkan oleh setiap Muslim melalui ujian yang menimpa diri mereka. Disebabkan itulah membenarkan Iman harus dengan mengukuhkan keyakinan di dalam jiwa sehingga sewaktu diuji dan dicuba oleh Allah swt maka orang yang beriman itu akan sabar dan teguh di dalam musibah yang menimpa diri mereka.
6- Keikhlasan Iman dan Melaksanakan tuntutan Syahadah kerana Allah dan Tidak Mensyirikkan-Nya
Mengikhlaskan Iman hanya kepada Allah swt adalah merupakan usaha tertinggi di dalam agama yang disebut sebagai Tauhid. Keimanan hanya kepada Allah swt dan dilakukan setiap rukun Iman dan amalannya hanya kerana Allah demi mengharapkan balasan dan memenuhi kehendak Allah swt.
Firman Allah yang bermaksud : “Katakanlah: "Hanya Allah saja yang aku sembah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agamaku". (Az-zumar : 14)
Ikhlas ialah sebuah proses pembersihan.
Firman Allah yang bermaksud : “Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah : 129)
Membersihkan hati, lisan dan amalan kita daripada syirik kepada Allah yang bermaksud membersihkan diri dan jiwa kita daripada sekutu-sekutu dan pesaing Allah dan memastikan setiap apa yang terkeluar di hati, lisan dan dilakukan hanyalah bersih dan suci semata-mata untuk Allah swt.
Ketika inilah Iman itu dibuktikan melalui keIkhlasan bahawa hanya mereka yang ikhlas sahaja akan tetap dan istiqamah di atas jalan Allah yang lurus.
Sesungguhnya syahadah itu ialah kunci kepada syurga.
Kemuncak syahadah itu ialah al-wala dan al-bara dan itulah syarat seterusnya dan terakhir di dalam penerimaan Iman dan syahadah.
7- Mahabbah Fillah dan Bughdo Fillah yang bermaksud Mencintai dan membenci hanya kerana Allah yang di dalam istilah disebut sebagai Al-Wala Wal Al-Bara’
Pada syarat yang tertinggi dan terakhir di dalam soal penerimaan Iman dan tuntutan syahadah ini adalah mengehendaki supaya seseorang Muslim itu hendaklah mencintai Allah swt dan rasul-Nya melebihi segala-galanya yang ada dan wujud di atas muka bumi dan di seluruh alam ini.
Syarat yang tertinggi dan yang paling sukar.
Mencintai Allah dan rasul melebihi dirinya sendiri.
Mencintai Allah dan rasul melebihi suami dan isteri serta ahli keluarganya
Mencintai Allah dan rasul melebihi ibubapanya
Mencintai Allah dan rasul melebihi harta dan segala yang dimilikinya atau melebihi apa-apa yang ada di atas muka bumi.
Cinta dan benci kerana Allah swt.
Sabda rasulullah yang bermaksud : “Tali iman yang paling kukuh ialah Mencintai kerana Allah dan Membenci kerana Allah.” (hadis sahih riwayat Ahmad)
Cinta dan kasih hanya kerana diperintahkan oleh Allah swt.
Sabda rasulullah yang bermaksud : "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman iaitu Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada segala-galanya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah dan tidak mencintai melainkan kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas diselamatkan Allah sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api". (hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)
Adakah cukup sekadar mencintai? Tidak, benci pun ada...
Bermaksud membenci syirik dan taghut itu ialah dia melawan dan menghancurkan kesyirikkan itu dengan hati, lisan dan tangannya.
Firman Allah swt yang bermaksud : “Barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, Maka Sesungguhnya dia telah berpegang kepada ikatan tali yang Amat kuat yang tidak akan putus. dan Allah Maha mendengar lagi Maha mengetahui.” (Al-Baqarah : 256)
Mari kita lihat pengajaran yang ditunjukkan oleh Allah dalam al-Quran, tentang nabi Ibrahim as...
Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: "Sesungguhnya Kami berlepas diri daripada kamu dari apa yang kamu sembah selain Allah, Kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara Kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah sahaja." (Al-Mumtahanah : 4)
Kerana itulah disebut di dalam syarat terakhir keimanan kepada Allah dan pelengkap kepada Kesahihan Iman dan kebenaran Syahadah ialah Mencintai dan membenci kerana Allah swt.
Siapakah dan apakah yang wajib kita benci?
- syaitan (surah al-A'raaf ayat 27)
- pemerintah yang zalim (al-Maidah ayat 44)
- hukum yang bukan dari Allah dan RasulNya
- mereka yang mengetahui ilmu ghaib yang bukan dari AQ dan AS
- golongan yang menyembah selain daripada Allah (surah al-Qasas ayat 63, al-Furqan ayat 18)
Jadi, sebagai kesimpulan, jom tengok balik apa 7 syarat penerimaan syahadah~~~
1- Mengetahui Maksud Syahadah dan Tuntutan Iman
2- Meyakini Iman dan Syahadah Lailahaillallah tanpa Syak dan ragu
3- Penerimaan yang menyeluruh dan penyerahan yang mutlak terhadap Islam
4- Ketaatan dan Pelaksanaan Amal Terhadap Apa yang diPerintahkan
5- Membenarkan dan memperjuangkan Iman dan Tuntutan Syahadah
6- Keikhlasan Iman dan Melaksanakan tuntutan Syahadah kerana Allah dan Tidak Mensyirikkan-Nya
7- Mahabbah Fillah dan Bughdo Fillah yang bermaksud Mencintai dan membenci hanya kerana Allah yang di dalam istilah disebut sebagai Al-Wala Wal Al-Bara’
Akhir kata...
Firman Allah yang bermaksud : (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (Al-Baqarah : 286)
p/s: Sila rujuk artikel asal untuk pemahaman lebih lengkap...Ok? Jangan ambik separuh-separuh ya.. Artikel ini diringkaskan untuk memudahkan pemahaman... Sebaik-baiknya kita mencari sendiri dan berusaha untuk memahamkan dan melaksanakannya InsyaAllah.
p/s2: Saja tak buat dalam 2 bahagian, untuk menyenangkan pembaca jugak sebenarnya. Kalau penat baca, tutup sekejap, baca lagi lain kali. Tau tau!
p/s3: Saya bukan ustazah, namun setiap umat Islam harus berusaha untuk memahami kalimah yang suci ini... Semoga usaha ini diterima di sisiNya sebagai ibadah buat bekalan akhiratku...
p/s4: Saya sedih melihat umat Islam sekarang..... semampu kita, junjunglah syahadah yang kita lafazkan... Janganlah biarkan ianya kosong tidak terisi... sedih tau! kamu sedih tak?
p/s5:Untuk ayat AQ yang diberikan, jemput-jemput untuk membaca ya:)
p/s5.5: Orang non-muslim pun baca Quran... malu ok!
p/s6: Jom berusaha!! Sudah tahu, berusahalah untuk mahu seterusnya mampu. Kerana kita tidak mempunyai pilihan melainkan syurga atau neraka. Choose now while we have the choice!
'Undi'lah dengan bijak~ :)
p/s7: Bacalah dengan nama Tuhanmu. Carilah agamamu. Teguhkanlah peganganmu.
p/s8: Setiap syarat itu sebenarnya mempunyai perbahasan yang tersendiri... dan diakui, bukan mudah untuk memahamkannya... Namun itulah ujian yang kita harus tempuh. Bersihkan hati selalu(cuci dengan clorox eh silap,cuci dengan bacaan AQ,zikrullah, mengingati mati dan macam2 lagi) semoga ilmu mudah meresap masuk ke dalam jiwa kita. Jika mampu, carilah dan kajilah (saya pun tak khatam lagi). Jika tidak, beramallah dengan apa yang kamu tahu... insyaAllah~
p/s9: Albert Einstein pernah berkata (sewaktu zaman kecilnya): "Cold doesn't exist, in the law of physics cold is just what we feel when there is no heat. Thus evil also doesn't exist. Evil is just the result when we don't have God's love in our hearts."lebih kurang gini la. bukan hadith pun sampai kena hafal matannya 100% ek :p
So let's strive to find God's love in our hearts, may Allah show us the way. selamat membasmi kegelapan
Renung-renungkan, selamat beramal!