Sungguh, Allah sebaik-baik Perancang.
Saat kami menerima jadual peperiksaan, cuma Allah yang tahu perasaan di hati.
Dengan diri sendiri yang memang sudah lama 'sakit rumah' (baca: homesick) berbulan-bulan, tiba-tiba FK bagi kejutan bom. Jadual peperiksaan ditukar, dan cuti dipendekkan menjadi kurang daripada seminggu. Tiket pula sudah dibeli. Maka, bermulalah sesi menangis di ceruk-ceruk FK(Fakultas Kedokteran). Adeh. Malu pulak bila ingat balik. Sengal betul.
Menangis dan menangis. Memang sensitif habislah.
Saya ni memang tak boleh disentuh, bila tiba masa-masa empangan hampir roboh, tiba-tiba ada yang pegang bahu, ha memang runtuhlah empangan jawabnya. Jadi, lain kali kalau nampak saya nak nangis tu, biar je. Kalau boleh kasi tampar sikit. Eh?
Dah lari jauh ni.
Jadi, jadual exam dah ditukar, tiket baru pun dibeli. (ceh penat je nangis konon tak dapat balik)
Ditambah pula, SOOCA dan OSCE jatuh pada minggu pertama exam, dan berturutan pada minggu yang sama. Dan jika gagal mana-mana, remedialnya 2 minggu kemudian, iaitu:
Isnin Remedial OSCE;
Selasa MDE Respiratory System;
Rabu Remedial SOOCA.
Tiga exam yang besar, tiga hari berturut-turut.
Tak ke kurang siuman jadual examnya? Ya Allah. Memang menduga kesabaran betul FK ni. Mujurlah tak ada dengar kes schizophrenia ke apa. Mental disorder yang lain tu mungkin dah ada lah kot. Allah al-musta'an.
Tapi, sungguh, Allah Maha Mengetahui.
Saya dijadualkan OSCE pada hari Rabu, hari terakhir. Jadual SOOCA pula keluar lambat. Pada mulanya, Khamis semua mahasiswa KPBI SOOCA. Rasa nak pitam mendengarnya. Alhamdulillah, akhirnya berjaya ditukar, dengan perbincangan dengan pihak SBP.
Nak dijadikan cerita. Pada hari saya OSCE juga, merupakan giliran memberi tazkirah di Caspel.
Tajuk- Al-Quran. Allah bukakan hati untuk memilih surah Al-Anfal, tentang perihal perang Badar. Khusus untuk ahli rumah yang majoriti ber'perang' dengan SOOCA pada esok dan lusa.
Pada bahagian awal surah Al-Anfal itu, meskipun cuma beberapa ayat, namun sangat banyak isi dan ilmu di dalamnya. Sungguh, ilmu Allah itu sangat luas.
Tafsir Ibnu Katsir dirujuk. Di dalamnya, kisah pembahagian 'anfal' - rampasan perang, perihal taqwa, ciri-ciri mukminun dan munafiqun, 'wajilat qulubuhum', iman, tawakkal, dan ibrah daripada para sahabat yang sanggup berkorban harta dan nyawa, segala-galanya demi Rasulullah saw, demi menegakkan Islam.
Tentang Abu Bakar, sahabat yang sentiasa menenangkan Rasulullah, saat Rasulullah menangis berdoa kepada Allah supaya diberikan kemenangan dalam perang Badar, dialah yang menenangkan baginda, memegang tangan baginda dan mengatakan;
"Cukuplah."
Semoga kita dapat menjadi sahabat penyejuk hati seperti itu :')
Tapi yang paling saya ingat, tentang tawakkal.
Orang-orang yang beriman;
Tidak berharap kepada sesuatu apapun kecuali kepada ALLAH;
Melakukan sesuatu perkara hanya keranaNya;
Mencari perlindungan kepada Allah sahaja;
Hanya kepada Allah kita meminta,merayu,mengharap dengan bersungguh-sungguh bagi segala keinginan kita;
Beribadah; berdoa hanya kepadaNya;
Meyakini bahawa; apa yang Dia takdirkan, PASTI akan berlaku dan apa yang Dia tidak izinkan berlaku, TAKKAN berlaku;
Meyakini bahawa; DIAlah yang Maha Esa, yang berkuasa atas Malik(Kerajaan)Nya;
Meyakini bahawa; Tiada siapa mampu untuk mengubah ketentuanNya; dan
Meyakini bahawa; ALLAH Maha Cepat perhitunganNya.
Sungguh besar sebenarnya hakikat tawakkal itu. Bukan hanya selepas berusaha, tetapi dalam seluruh urusan kita, harus diserahkan kepadaNya, mengharapkan dia memperbaiki segala urusan kita, kerana jika diserahkan kepada kita, pastilah rugi kita, kerana kita punya segala macam kekurangan dan kehinaan dan segala kesempurnaan hanya milikNya.
Sebab itu Sa'id bin Jubayr mengatakan, 'tawakkal kepada Allah adalah inti dari keimanan'
atau dalam bahasa Inggerisnya, 'tawakkal to Allah is the essence of faith'
Inti. Essence. Menunjukkan sangat pentingnya tawakkal itu.
Alhamdulillah, diri ini ditakdirkan untuk gagal pada hari SOOCA pada Jumaat, dua hari selepas memberi tazkirah tentang surah itu.
Subhanallah. Tiada apa yang boleh dikatakan, melainkan Dialah sebaik-baik perancang.
Tiada langsung kekesalan di hati atas kegagalan itu, kerana cuma kita dan Dia yang mengetahui sebanyak mana usaha kita, dan pasti Dia mengetahui yang terbaik untuk hambaNya, dan takkan Dia uji melainkan Dia mengetahui kita MAMPU untuk menghadapiNya.
Belum tentu orang lain yang lulus mampu, tetapi Allah memilihku, jadi PASTI aku mampu menghadapiNya!
Tidak perlu menyesal. Kan?
Alhamdulillah, aku gagal SOOCA kali pertama:)
Alhamdulillah, aku tidak gagal menerima ujianNya.
Alhamdulillah, minggu remedial dan MDE itu juga berlalu dengan baik.
Segala puji hanya milikNya.
Sekarang, minggu peperiksaan sudah hampir habis, cuma 2 peperiksaan tinggal sebelum pulang ke Malaysia sebentar.
Moga Allah permudahkan segala urusan ini:)
p/s: Islam tidak pernah menolak fitrah. Dan perasaan itu merupakan fitrah bagi manusia. Jadi bagaimana? Contohilah Rasulullah saw, teladan terbaik bagi manusia:)
“Sesungguhnya Allah itu tidak menyeksa kerana titisan air mata kesedihan hati, tetapi Allah hanya akan menyeksa kerana ini, (beliau menunjuk kearah lidahnya) atau Allah akan mengampuninya.”
(HR. Al-Bukhari)
Dalam suatu hadith lain;
Anas bin Malik radhiallaahu anhu pernah meriwayatkan ketika putra Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam, Ibrahim akan meninggal, ia datang menemui Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam sedangkan Ibrahim nafasnya sudah termengah-mengah, maka kedua mata beliaupun berlinang air mata.
Dalam riwayat lain disebutkan beliau mengambilnya dan meletakkannya di atas pangkuan sambil berkata: “Wahai anakku! Aku tidak memiliki hak kuasa apapun yang dapat kuberikan kepadamu di sisi Allah”.
Melihat Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam menangis, Abdul Rahman bin Auf dan Anas lalu bertanya: “Wahai Rasulullah mengapa kamu menangis? Bukankah kamu telah melarang menangis?’
Beliau menjawab : “Wahai Ibnu Auf, sesungguhnya tangisan itu adalah rahmat, dan barangsiapa tidak memiliki kasih sayang maka ia tidak mendapatkan kasih sayang”, kemudian beliau bersabda lagi: ” Sesungguhnya air mata boleh berlinang, hati juga boleh berduka namun kita hanya mengucapkan apa yang diredhai Tuhan kita. Wahai Ibrahim, sungguh kami sangat bermuram durja kerana berpisah denganmu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Apapun, jangan sampai hati kita menangis kerana menolak ketentuan Allah yang menimpa. Ketahuilah, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi hambaNya. Yakinlah, dan tabahlah menghadapi hidup dengan senyuman.
wassalam.
Kita hanya manusia, dan manusia sering terlupa. Marilah mengingatkan sesama kita, moga berjumpa di syurga~
salam kak...bez bace...thanx..:)
Syera-
Waalaikumussalam wbt..
Sama-sama, moga ada manfaatnye ea?
Tapi lagiii best baca al-quran:)