Doa yang Indah

Disusun oleh : Ummu Abdillah
Doa ini saya pelajari daripada isteri kepada guru kami (hafizhahumullah), ketika itu saya menziarahinya sebelum dia pulang ke Syria. Sebelum kami bersurai dia membacakan doa ini dan mengatakan Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallammembacanya sebelum mengakhiri sesuatu majlis. Saya tak pernah dengar akan kesunnahan membaca doa ini sebelum habis majlis. Oleh itu, saya cuba cari matan hadis ini dan cuba mengenalpasti ‘lokasi’ hadis ini dalam kitab-kitab hadis. Saya susun penjelasan hadis ini buat para pembaca untuk diambil manfaatnya kerana makna doa ini sangat indah, dan kita sebagai hamba yang lemah sangat-sangat memerlukan doa ini…

كان ابن عمر رضي الله عنهما إذا جلس مجلسا لم يقم حتى يدعو لجلسائه بهذه الكلمات ، وزعم أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يدعو بهن لجلسائه : « اَلَلَّهُمَّ اقْسِمْ لَنَا مِنْ خَشْيَتِكَ مَا تَحُوْلُ بِهِ بَيْنَنَا وَبَيْنَ مَعَاصِيْكَ ، وَمِنْ طَاعَتِكَ مَا تُبَلِّغُنَا بِهِ إِلَى جَنَّتِكَ ، وَمِنْ الْيَقِيْنِ مَا تُهَوِّنُ بِهِ عَلَيْنَا مَصَائِبَ الدُّنْيَا ، اَللَّهُمَّ مَتِّعْنَا بِأَسْمَاعِنَا وَأَبْصَارِنَا وَقُوَّتِنَا مَا أَحْيَيْتَنَا ، وَاجْعَلْهُ الوَارِثَ مِنَّا ، وَاجْعَلْ ثَأْرَنَا عَلَى مَنْ ظَلَمَنَا ، وَانْصُرْنَا عَلَى مَنْ عَادَانَا ، وَلَا تَجْعَلْ مُصِيْبَتَنَا فِيْ دِيْنِنَا ، وَلَا تَجْعَلِ الدُّنْيَا أَكْبَرَ هَمِّنَا وَلَا مَبْلَغَ عِلْمِنَا ، وَلَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لَا يَرْحَمُنَا »

Maksudnya : Ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma jika duduk di dalam satu majlis, beliau tidak akan bangun sehinggalah beliau berdoa dengan doa ini, dan beliau mendakwa bahawa Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam berdoa dengan doa ini untuk orang-orang yang duduk bersamanya di dalam sesuatu majlis : 
‘Ya Allah, berikanlah kami rasa takut kepadaMu yang boleh menjadi penghalang di antara kami dan maksiat kepadaMu, 
dan (berikanlah kami) ketaatan kepadaMu yang boleh menyampaikan kami kepada syurgaMu, dan (berikanlah kami) keyakinan yang memudahkan kami untuk menghadapi musibah dunia, 
Ya Allah, berilah kami manfaat pada pendengaran kami, penglihatan kami dan kekuatan kami selagi kami hidup, dan jadikanlah ia kekal dengan kami dan terpelihara sehinggalah kami mati, 
dan Kau berikanlah balasan ke atas orang yang menzalimi kami, dan bantulah kami ke atas orang yang memusuhi kami, 
dan janganlah Kau timpakan musibah pada agama kami, dan janganlah juga Kau jadikan dunia ini sebagai sebesar-besar kerisauan (matlamat) kami serta (janganlah Kau jadikan) pengetahuan kami mengenai dunia semata-mata, dan janganlah Kau biarkan orang yang tidak mengasihani kami menguasai kami’.

Takhrij hadis : Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya, Kitab al-Da’awaat, Bab Bi duun Tarjamah, hadis no. 3502; al-Nasa’ie dalam Sunannya, Kitab ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah, Bab Ma Yaquulu Iza Jalasa fi Majlisin Kathura Fiihi Laghathuhu, hadis no. : 10234; Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah, Bab Ma Yad’uu Bihi al-Rajul li Julasaa’ihi, hadis no. : 445 dan lafaz hadis di atas adalah olehnya; al-Hakim dalam al-Mustadrak, Kitab al-Du’aa wa al-Takbir wa al-Tahlil wa al-Tasbih wa al-Zikr, tanpa Bab, hadis no. : 1934; al-Thabarani dalam al-Du’aa, hadis no. 1911. Al-Tirmizi berkata : Hadis ini hasan gharib. Dalam riwayat al-Hakim terdapat penambahan lafaz di awal riwayat : (اللهم اغفر لي ما قدمت و ما أخرت و ما أسررت و ما أعلنت و ما أنت أعلم به مني). Berkata al-Hakim : Hadis ini sahih menurut syarat al-Bukhari tetapi beliau tidak meriwayatkannya. Al-Albani menghasankan hadis ini (Lihat : Ibn Taimiyah, al-Kalim al-Thayyib, tahqiq Muhammad Nasiruddin al-Albani)
Faedah :
  • Sunnah membaca doa ini sebelum mengakhiri sesuatu majlis.

  • Maksud (…dan (berikanlah kami) ketaatan kepadaMu yang boleh menyampaikan kami kepada syurgaMu…) iaitu : berikanlah petunjuk dan kekuatan kepada kami untuk melakukan ketaatan kepadaMu beserta kesempurnaan rahmatMu, kerana ketaatan semata-mata tidak dapat menyampaikan kita ke syurga tetapi rahmat Allahlah yang memasukkan seseorang itu ke sana. 

  • Dalilnya : Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : ‘Sesungguhnya amalan seseorang itu tidak akan dapat menyelamatkannya’, mereka (para sahabat) berkata : Walaupun tuan wahai Rasulullah? Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam menjawab : ‘Walaupun aku, kecuali mereka yang mendapat rahmat dari Allah…’ [Diriwayatkan oleh al-Bukhari (6098) dan Muslim 2816)]

  • Maksud (…berilah kami manfaat pada pendengaran kami, penglihatan kami dan kekuatan kami selagi kami hidup…) iaitu : supaya kami dapat menggunakannya untuk melakukan ketaatan kepadaMu dan berikanlah kesihatan dan kesejahteraan kepada pancaindera ini sehingga kami menemui ajal. 

  • Mengapa dikhususkan pancaindera pendengaran dan penglihatan? Kerana dengan dua pancaindera inilah manusia boleh mengenal Penciptanya, mendengar ayat-ayat Allah dan melihat tanda kekuasaan Allah. Maka berdoalah supaya diberi kesejahteraan pada 2 pancaindera ini supaya tidak termasuk dalam golongan yang ditutup pendengaran dan penglihatannya oleh Allah (surah al-Baqarah ayat 7).

  • Maksud (…dan Kau berikanlah balasan ke atas orang yang menzalimi kami …) iaitu : dan janganlah Kau jadikan kami ini orang yang berlebih-lebihan dalam menuntut bela.

  • Maksud (…dan janganlah Kau timpakan musibah pada agama kami…)iaitu : janganlah Kau uji kami dengan sesuatu yang dapat mengurangkan iman dan agama kami seperti rezeki dari jalan yang haram, rasa malas untuk melakukan ibadah, kurangnya rasa kecintaan kepada Allah dan Rasul, tidak beramal dengan Sunnah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam dan lain-lain.

  • Maksud (…janganlah juga Kau jadikan dunia ini sebagai sebesar-besar kerisauan (matlamat) kami…) iaitu : janganlah jadikan kami ini sentiasa sibuk menuntut kesenangan dunia sehingga kami menuntut akhirat dengan sambil lewa. Ini menunjukkan bahawa boleh untuk menuntut dunia bagi meneruskan kehidupan tetapi dengan kadar yang sepatutnya dan tidak sampai ia jadi sebesar-besar matlamat. Allah berkata dalam al-Quran surah al-Qasas ayat 77, yang bermaksud : ‘Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi..’

  • Maksud : (…janganlah Kau jadikan pengetahuan kami mengenai dunia semata-mata…) iaitu : janganlah Kau jadikan kami ini tidak tahu dan tidak berfikir melainkan mengenai dunia sahaja, tapi jadikanlah kami ini orang-orang yang sentiasa berfikir mengenaiMu dan hari akhirat.
Rujukan : Tuhfat al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi oleh al-Mubarakfuri dan Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Shaghir oleh al-Munaawi.
Baca lagi di: Blog Ummu Abdillah
Penulis merupakan graduan UIAM dalam jurusan Ilmu Wahyu, pengkhususan dalam bidang Hadith.


Kita hanya manusia, dan manusia sering terlupa. Marilah mengingatkan sesama kita, moga berjumpa di syurga~

3 Responses so far.

  1. duha says:

    memang indah!

    jzkk atas perkongsian :)

Reminder for the soul

“Aku hairan dengan orang yang mengetahui kematian, tapi mengapa ia masih tertawa;

Aku hairan dengan orang yang tahu bahawa dunia adalah sementara, tapi mengapa ia sangat mencintainya;

Aku hairan dengan orang yang mengetahui semua urusan telah ditakdirkan, tapi mengapa ia takut kehilangan;

Aku hairan dengan orang yang mengetahui bahwa hisab adalah suatu kepastian, tapi mengapa ia tetap mengum
pulkan harta dan menghitung-hitungnya;

Aku hairan dengan orang yang mengetahui panasnya api neraka, tapi mengapa ia tetap berbuat dosa;

Aku hairan dengan orang yang mengaku mengenal Allah, tapi mengapa ia meminta tolong kepada selain-Nya;

Aku hairan kepada orang yang mengaku mengetahui kenikmatan syurga, tapi mengapa ia merasa hidup tenang di dunia;

Dan aku hairan kepada orang yang mengetahui syaitan adalah musuhnya, tapi mengapa ia mentaatinya.”

Uthman bin Affan Radhiyallahu anhu
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Masa umpama pedang