Salam. Saya pernah menceritakan kisah ini kepada seorang sahabat, namun baru sekarang dapat sertakan kisahnya. Selamat membaca! Semoga kita lebih berhati-hati dalam menerima setiapa perkataan yang kita dengar. :) 
Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya dalam penyebaran fahaman Syi’ah di kalangan ummah’ karangan Maulana Muhammad Asri Yusoff.
Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya dalam penyebaran fahaman Syi’ah di kalangan ummah’ karangan Maulana Muhammad Asri Yusoff.
Sebuah kisah yang boleh dikatakan  tiada sebuah buku sirah pun yang ditulis kemudian tidak menyebutkannya  ialah kisah Hindun memamah, mengunyah atau memakan hati Sayyidina Hamzah  semasa atau selepas peperangan Uhud.
Kisah ini adalah ciptaan dan  rekaan Ibnu Ishaq. Dialah orang yang mula-mula sekali di dalam dunia ini  yang mengemukakan kisah tersebut. Kemudian At Thabari menyebarkannya  tetapi melalui jalan riwayat Ibnu Ishaq. Ringkasnya Ibnu Ishaqlah  merupakan satu-satunya paksi dalam meriwayatkan kisah ini.
Ibnu Ishaq berkata, “ mengikut  cerita yang sampai kepada saya menerusi Saleh bin Kaisan, Hindun Binti  Utbah dan perempuan-perempuan lain bersamanya melakukan ‘mutslah’  terhadap sahabat-sahabat Rasulullah saw yang terbunuh.
Mereka memotong telinga-telinga  dan hidung-hidung (sahabat-sahabat yang terbunuh itu ) sehingga Hindun  menyucuk telinga-telinga dan hidung-hidung orang-orang yang terbunuh itu  untuk dijadikan sebagai gelang kaki dan kalung-kalung. Dia memberikan  gelang kaki, kalung dan subangnya(anting-anting) kepada Wahsyi, hamba  Jubair Bin Muth’im. Dia membelah perut Hamzah dan mengambil hatinya lalu  dikunyahnya tetapi tidak dapat ditelannya kerana itu dia memuntahkannya  keluar”. ( Lihat Sirah Ibnu Ishak m.s. 385, Sirah Ibn Hisyam jilid 3  m.s. 36).
Ibnu  Jarir at-Thabari pula meriwayatkan dari Muhammad Bin Humaid, dia  mengambil cerita ini dari Salamah Al Abrasy. Salamah pula mengambil dari  Ibnu Ishaq. Ibnu Ishaq mengatakan, “Saleh Bin Kaisan menceritakan  kepadanya”. (Lihat Tarikh al-Umam Wa al-Muluk-at-Thabari jilid 2 m.s.  204). 
Salah seorang yang tersebut dalam  isnad ini ialah Muhammad Bin Humaid ar Razi. Beliau ialah penduduk Ray.  Dia selalu menukilkan riwayat dari Ya’kub al-Qummi ( seorang penulis  kitab-kitab Syiah dan selainnya ).
Ya’kub bin Syaibah berkata, “Dia  selalu mengemukakan riwayat-riwayat yang sangat mungkar”. Imam Bukhari  berkata, “Kedudukannya dipertikaikan.”. Abu Zura’ah ar-Razi seorang alim  senegeri dengannya berkata, “ Dia seorang pendusta besar.” Fadlak  ar-Razi juga seorang alim senegeri dengannya berkata, “Saya mempunyai  50,000 riwayat Muhammad bin Hummaid ar-Razi tetapi satupun darinya tidak  saya kemukakan kepada orang ramai.”
Pernah Ibnu Kharasy mengemukakan  riwayat Muhammad bin Humaid lantas dia berkata, “Demi Allah! Dia  berbohong.” Ulama’ hadis yang lain berkata bahawa dia selalu mengambil  hadis-hadis orang-orang tertentu kemudian menisbahkannya kepada orang  lain. Imam Nasa’i berkata, “Dia seorang yang lemah.” Saleh Jazarah  berkata, “Tidak pernah saya lihat dalam hidup saya seorang yang lebih  mahir berbohong dari dua orang iaitu pertama, Muhammad bin Humaid (ahli  sejarah) dan kedua, Sulaiman as-Syazkumi.”
Imam Fadhlak ar-Razi pernah  menceritakan bahawa, “Saya pernah pergi kepada Muhammad bin Humaid.  Ketika itu dia sedang mereka sanad-sanad cerita-cerita palsu.” Imam  Zahabi berkata, “Muridnya Muarrikh (sejarawan) at-Thabari telah menulis  dengan penuh yakin bahawa Muhammad bin Humaid tidak ingat al-Quran.”. Di  akhir hayatnya hanya dua orang yang menerima riwayat-riwayat darinya  iaitu:
1)   Abul Qasim Baghawi
2)   Muhammad bin Jarir at-Thabari
Ibnu Humaid meninggal dunia pada  tahun 248 H – (Lihat Mizanu al-I’tidal jilid 3 halaman 530, Tahzibu  al-Kamal jilid 6 m.s. 286-287).
Seorang lagi yang ada dalam isnad  Ibnu Ishak ini ialah Salamah al-Abrasy yang nama penuhnya Salamah bin  Fadhl. Dia terkenal dengan gelaran al-Abrasy. Pernah menjadi qadhi di  Ray kerana itulah dia dinisbahkan dengan ar-Razi. Kuniahnya ialah Abu  Abdillah. Dia terkenal sebagai sejarawan di zamannya selain dianggap  sebagai salah seorang perawi penting Maghazi Ibnu Ishaq. Pandangan  ulama’ hadis dan rijal terhadapnya dapat dilihat melalui nukilan Imam  Zahabi. Beliau menulis, “………Ishaq bin Rahawaih berkata, “Dia seorang  dhaif”. Bukhari berkata, “Sesetengah hadisnya mungkar”. Imam Nasa’i  berkata, “ Dia seorang dhaif”. Ali Ibnu Madini menceritakan, “Setelah  kami pulang dari Ray, riwayat-riwayat yang pernah kami dengar dari  Salamah kami buangkan dengan anggapan ia adalahn karut dan dusta”.
Yahya bin Ma’in berkata, “Salamah  al-Abrasy ar-Razi adalah seorang Syiah.” Abu Hatim ar-Razi berkata, “Dia  tidak boleh dijadikan hujjah.” Abu Zur’ah ar-Razi berkata, “Penduduk  Ray sama sekali tidak suka kepadanya, lantaran fahamannya yang salah.  Sebagai seorang qadhi, beliau selalu berlaku zalim terhadap orang ramai  meskipun dia bersembahyang dengan khusyuk’. Sebelum menjadi qadhi belaiu  mengajar kanak-kanak dan beliau meningggal dunia pada tahun 191 H – (  Mizanu al-I’tidal jilid 2 m.s. 12, Tahzibubu al-Kamal jilid 3 m.s.  252-253)
Ibnu Ishaq mendakwa riwayat ini  diambilnya dari Saleh Bin Kaisan. Siapakah Saleh Bin Kaisan itu? Beliau  ialah seorang tabi’i kecil dan tsiqah (perawi yang boleh dipercayai)  tetapi beliau adalah kelahiran selepas 70H dan meninggal dunia pada  tahun 140H. Dia lebih tua sedikit dari Muhammad Bin Ishaq sedangkan  peristiwa peperangan Uhud telah berlaku 70 tahun sebelum kelahirannya.  Siapakah pula yang menceritakannya kepada Saleh? Tentu sekali beliau  bukan merupakan penyaksi peristiwa itu dengan mata kepala sendiri. Sudah  tentu sekurang-kurangnya seorang yang ‘ghaib’ dalam isnad ini  menjadikannya riwayat munqati’. Sepertimana dimaklumi riwayat munqati’  tidak boleh diterima (sebagai hujah).
Sebenarnya Saleh Bin Kaisan tidak  pun meriwayatkan kisah ini. Ibnu Ishaq sahaja yang mengaitkannya dengan  Saleh. Selain dari Ibnu Ishaq tidak ada sesiapapun mengambil cerita ini  baik dari Saleh Bin Kaisan atau orang lain sepanjang pengetahuan  sejarah. Di antara sekian ramai anak murid Ibnu Ishaq pula, tidak ada  yang meriwayatkan cerita ini darinya selain Salamah al-Abrasy. Kemudian  tidak ada seorang pun yang meriwayatkan dari Salamah al Abrasy selain  Muhammad Bin Humaid ar Razi. Seterusnya tidak ada seorang pun yang  meriwayatkan dari Muhammad bin Humaid ar Razi selain dari Ibnu Jarir at  Thabari.
Thabari meninggal dunia pada tahun  310H. Ini bermakna dari tahun 70H hingga tahun 310H, disetiap peringkat  hanya ada seorang sahaja yang meriwayatkan kisah ini, seolah-olah ia  suatu perkara yang sulit dan perlu dirahsiakan hanya boleh diterima dari  setiap generasi, seorang sahaja!
Sekiranya peristiwa ini  benar-benar berlaku dan ia mempunyai saksi yang melihatnya dengan mata  kepala, tentu sekali ia tersebar lebih awal dari itu dan sepatutnya  perawi-perawi cerita ini semakin ramai dari satu generasi ke generasi  selepas itu. Terbuktilah bahawa kisah inni tidak popular kecuali setelah  masyarakat Islam menerima apa sahaja riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu  Ishaq dan at Thabari dengan membuta tuli. Kisah ini sebetulnya tidak  diketahui oleh sesiapapun sebelum tahun 70H.
PENILAIAN LOGIK
Dari segi Logiknya, bagaimana Ibnu  Ishak hanya nampak Hindun sahaja melakukan perbuatan keji ini dan  menuding jari kepadanya sedangkan ramai lagi perempuan-perempuan lain  yang turut serta dalam peperangan Uhud selain Hindun seperti Ummu Hakim  binti al Harits Bin Hisyam, Barzah (isteri kepada Safwan bin Umayyah),  Barrah binti Mas’ud bin Amar bin Umair as Saqafiyyah (ibu kepada  Abdullah Bin Safwan), Buraithah binti Munabbih bin al Hajjaj (isteri  kepada Amar bin al’As dan ibu kepada Abdullah bin Amar bin al As).  Sulafah binti Saad, Khunas binti Malik dan Amrah binti Al Qamah dan  lain-lain lagi. Dalam kesibukan perang dan hingar bingar kedua-dua  pasukan yang berperang itu, bagaimana kelihatan kepada Ibnu Ishaq Hindun  sedang memakan hati Hamzah dan menjadikan telinga, hidung dan lain-lain  anggota Hamzah sebagai gelang kakinya di samping menghadiahkan pula  kalung dan subangnya kepada Wahsyi yang telah mensyahidkan Hamzah.
Untuk mengetahui semua tindakan  Hindun dengan sah dan tepat, seolah-olahnya Ibnu Ishaq telah mengutus  wartawan-wartawan dan juru-juru kamera yang tidak terbabit langsung  dalam peperangan, tugas mereka hanyalah menyaksikan dan merakamkan apa  yang berlaku dalam peperangan itu lalu melaporkannya kepada Ibnu Ishaq  dan menyerahkan pula gambar-gambar sebagai bukti sokongan kepada apa-apa  yang disampaikan oleh mereka itu. Untuk mendapat kepastian sedemikian  rupa semestinya Ibnu Ishaq dibantu oleh orang-orang tadi. Ini kerana  tidak pula orang-orang yang ikut serta secara langsung sama ada dari  kalangan orang-orang Islam atau mereka yang ada di pihak orang-orang  kafir tetapi kemudiannya memeluk Islam menceritakan sepertimana yang  diceritakan oleh Ibnu Ishaq.
Perempuan-perempuan yang dikatakan  oleh Ibnu Ishaq telah bersama-sama dengan Hindun melakukan mutslah  (memotong-motong anggota orang yang telah mati dengan maksud melepaskan  geram dan dendam) juga tidak menceritakan seperti mana yang diceritakan  oleh Ibnu Ishaq itu. Maka bagaimana kita akan menerima riwayat yang  melaporkan kisah tersebut menerusi Saleh Bin Kaisan yang lahir setelah  lebih 70 tahun berlakunya peristiwa ini dan mengenepikan pula  saksi-saksi mata kepala yang turut serta dalam peperangan ini sama ada  dari kalangan orang-orang Islam atau dari kalangan orang-orang kafir.
Wahsyi yang diketahui dan diterima  oleh semua sebagai pembunuh Sayyidina Hamzah kemudiannya telah memeluk  agama Islam. Jubair bin Muth’im tuan kepada Wahsyi kemudiannya juga  memeluk agama Islam. Hindun binti Utbah, isteri Abu Suffian, ibu kepada  Sayyidina Muawiyah yang dikatakan oleh Ibnu Ishaq telah memakan hati  Hamzah, kemudiannya juga telah memeluk agama Islam. Semua mereka ini  tidak ada pun menceritakan apa yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq pada hal  merekalah orang-orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa ini  dan paling patut dirujuk dan diselidiki penjelasan mereka.
SIKAP IMAM BUKHARI
Imam Bukhari jauh berbeza dari  Ibnu Ishaq kerana meriwayatkan kisah pembunuhan Sayyidina Hamzah,  melalui pembunuhnya sendiri bukan melalui orang yang lahir 70 tahun  selepas peristiwa itu berlaku. Menurut metod ilmu riwayat, riwayat yang  dikemukakan oleh Imam Bukhari lebih wajar diterima kerana beliau  mengambil dari orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa itu.  Mari kita perhatikan riwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya berhubung  peristiwa itu.
RIWAYAT IMAM BUKHARI
Imam Bukhari menukilkan dari  Ja’far bin Amar bin Umaiyyah ad Dhamri dia berkata, “Saya telah  berangkat untuk satu perjalanan dengan Ubaidullah bin Adiy bin al  Khiyar. Bila kami sampai di Hims, Ubaidullah bin Adi bertanya kepada  saya, “Mahukah engkau berjumpa dengan Wahsyi? Boleh kita tanya kepadanya  tentang pembunuhan Sayyidina Hamzah”. Saya berkata, “Tentu sekali”.
Pada hari-hari itu Wahsyi menetap  di Hims. Kami bertanya seseorang, “Di mana rumah Wahsyi?”. Orang itu  menceritakan, “Itu dia Wahsyi sedang duduk di bawah naungan (bayang)  rumahnya. Bila kami ternampak dia dalam rupanya yang gemuk dan tidak  berambut itu tak ubah seperti sebuah gereba. Kami berdiri sejenak  setelah sampai di hadapannya lalu kami memberi salam kepadanya. Beliau  menjawab salam kami. Perawi berkata, “Ketika itu Ubaidullah bin Adi bin  al Khiyar menutup muka dan kepalanya dengan serban. Wahsyi tidak nampak  apa-apa darinya melainkan dua mata dan kakinya sahaja.
Ubaidullah pun bertanya Wahsyi,  “Kamu kenalkah siapa saya?”. Wahsyi mengangkat pandangannya ke arah  Ubaiullah, kemudian dia berkata, “Demi Allah, Tidak! Ya, Cuma saya tahu  bahawa Adi bin Al Khiyar telah berkahwin dengan seorang perempuan  dipanggil Ummul Qital binti Abi al-‘Is. Dengannya Adi bin Al Khiyar  telah mendapat seorang anak lelaki. Sayalah yang telah mencari seorang  pengasuh untuk anaknya itu dan saya dengan ibunya membawakan anak itu  untuk diserahkan kepada pengasuh tersebut. Sekarang saya sedang  memerhatikan kaki awak. Saya rasa engkaulah anak itu”. Ubaidullah pun  mengalihkan kain dari mukanya. Dia bertanya Wahsyi, “Bolehkah kamu  ceritakan kepada kami tentang pembunuhan Hamzah?”. Wahsyi menjawab, “Ya,  tentu boleh. Ceritanya begini : Hamzah telah membunuh Thu’aimah bin Adi  bin Al Khiyar dalam peperangan Badar. Tuan saya Jubair Bin Mut’im  berkata kepada saya, “Kalau engkau dapat membunuh Hamzah, engkau  merdeka”.
Bila saya keluar untuk berperang  pada tahun ‘Ainain’ (Ainain ialah salah satu bukit di Uhud, di  hadapannya terletak Wadi Uhud), saya juga keluar bersama orang lain  untuk berperang. Bila masing-masing pasukan telah membetulkan saf, maka  Siba’ bin Abdul Uzza pun tampil kehadapan seraya berkata, “Adakah  sesiapa yang akan berlawan?”. Wahsyi menceritakan, “Dari kalangan pihak  lawan, Hamzah bin Abdul Muthalib tampil kehadapan seraya berkata, “Oh  Siba’!Oh anak Ummu Anmar! Mudim anak-anak perempuan, adakah engkau  memerangi Allah dan Rasulnya?”. Kemudian dengan pantas Hamzah menyerang  lalu dia (Siba’) menjadi seperti kelmarin yang telah berlalu (terus  mati). Wahsyi berkata, “Saya ketika itu bersembunyi di sebalik satu batu  besar sambil mengintai-intai Hamzah. Bila dia lalu dekat saya, terus  saya membaling lembing saya ke arahnya. Lembing itu mengenai bahagian  pusatnya lalu menembusi belakangnya. Itulah pertemuan saya yang terakhir  dengannya. Bila semua orang pulang dari medan perang, saya juga pulang  bersama mereka dan terus menetap di Mekah (selepas merdeka) sehingga  Islam tersebar di sana, kemudian saya pun keluar ke ta’if”.
Bila orang Ta’if menghantarkan  utusan-utusan kepada Rasulullah s.a.w. maka ada orang berkata kepada  saya, “Nabi tidak mengganggu utusan,” kerana itu saya pun menyertai  golongan utusan itu untuk mengadap Nabi s.a.w. Bila Nabi saw melihat  saya, Baginda pun bertanya, “Adakah engkau Wahsyi?”. Saya menjawab,  “Ya”. Baginda saw bertanya lagi, “Engkaukah yang telah membunuh  Hamzah?”. Saya menjawab, “Berita yang sampai kepada tuan itu adalah  benar”. Nabi saw pun bersabda, “Bolehkah engkau sembunyikan mukamu dari  pandanganku?”. Wahsyi berkata, “Aku pun pergi dari situ”.
Selepas kewafatan Rasulullah  s.a.w. Musailamah al Kazzab memberontak. Saya berfikir dalam hati saya  bahawa seharusnya saya keluar untuk menentang Musailamah. Boleh jadi  saya akan dapat membunuhnya dengan itu terbalaslah (terbayarlah)  pembunuhan Hamzah oleh saya. Setelah terfikir begitu saya pun keluar  bersama orang ramai untuk berperang. Tiba-tiba (dalam peperangan) saya  ternampak seorang sedang berdiri di celah tembok. Dia kelihatan seperti  unta yang kehitaman warnanya. Rambutnya berselerak. Saya lepaskan  lembing saya ke arahnya dan tepat mengenai dadanya sehingga menembusi  belakangnya. Selepas itu tampil seorang Ansar Madinah lalu menetak  kepalanya. Abdullah Bin al-FAdhl menceritakan bahawa Sulaiman bin Yasr  menceritakan kepada saya bahawa beliau mendengar Ibnu Umar berkata,  “Seorang perempuan yang ketika itu berdiri di atas bumbung rumah lantas  berteriak mengatakan, “Demi Amirul Mukminin (Musailamah al Kazzab)! Dia  telah dibunuh oleh budak Habsyi.( Lihat Sahih Bukhari jilid 2 m.s. 583)
Demikianlah kedudukan sebenar  kisah ini mengikut cerita dari mulut pembunuh Sayyidina Hamzah sendiri. 
Dari riwayat ini dapat disimpulkan beberapa perkara seperti berikut ;
1.  Wahsyi adalah hamba kepada Jubair bin Muth’im. Jubair bin Muth’imlah  yang mendorongnya membunuh Hamzah dengan janji akan memerdekakannya jika  dia berjaya membunuh Hamzah. Di dalam riwayat ini tidak ada isyarat pun  tentang campurtangan Hindun dalam pembunuhan Hamzah. Bukan Hindun yang  mendorong Wahsyi supaya membunuh Hamzah, bukan juga Hindun yang dapat  memerdekakan Wahsyi kerana Wahsyi bukan hambanya, malah dalam riwayat  Ibnu Ishaq sendiri pun Wahsyi adalah hamba Jubair bin Muth’im.
2.  Di dalam riwayat ini juga tidak tersebut Hindun memberikan gelang kaki,  kalung dan subangnya kepada Wahsyi kerana kejayaannya membunuh Hamzah.  Bahkan Wahsyi tidak mendapat apa-apa hadiah dari sesiapa pun selain dari  hadiah kemerdekaan yang dijanjikan tuannya Jubair bin Muth’im.  Sekiranya ada, maka tidak ada sebab kenapa Wahsyi menyembunyikannya.
3.  Wahsyi ikut serta dalam peperangan Uhud dari awal hingga akhir di pihak  orang-orang kafir Quraisy dan akhir sekali beliau pulang ke rumah  bersama orang-orang lain. Di dalam riwayat Bukhari ini beliau tidak  menyebutkan cerita perempuan-perempuan membuat kalung dari anggota  orang-orang Islam yang syahid yang telah dipotong oleh mereka. Tidak ada  juga beliau menyebutkan kisah sesiapa memakan hati sesiapa. Jika  diandaikan beliau tidak melihat apa yang dilakukan oleh  perempuan-perempuan Quraisy terhadap orang-orang Islam yang mati syahid  dalam peperangan Uhud itu terutamanya Hindun sekalipun tetap  berkemungkinan juga beliau mendengar cerita itu di Mekah setelah pulang  tetapi tiadanya cerita Wahsyi ini daripada perbuatan-perbuatan perempuan  tersebut menunjukkan bahawa semua itu tidak benar.
4.  Kerana Wahsyi telah membunuh Hamzah yang begitu disayangi oleh  Rasulullah saw, Nabi saw meminta beliau supaya tidak bersemuka  dengannya. Tetapi Jubair bin Muth’im, pada ketika pembukaan Mekah tidak  pula diminta oleh Rasulullah saw supaya tidak bersemuka dengannya  seperti Wahsyi. Apa yang dilakukan oleh Wahsyi, jika benar seperti yang  didakwa oleh Ibnu Ishaq, bahawa Hindun telah membelah perut Hamzah dan  mengunyah hatinya – maka kelakuan itu lebih dasyat daripada apa yang  dilakukan oleh Wahsyi terhadap Hamzah, kerana sudah lumrah dalam  peperangan seseorang membunuh pihak lawannya. Tetapi adalah sesuatu yang  luar biasa seseorang membelah perut orang yang telah mati dalam  peperangan lalu memotong hatinya untuk dikunyah atau dimakan. Sepatutnya  Rasulullah saw juga tidak sanggup bersemuka dengan Hindun sama seperti  Wahsyi tetapi sebaliknya apabila Nabi saw menakluk Mekah, di samping  Baginda saw mengisytiharkan damai, Baginda saw juga telah  mengisytiharkan nama-nama orang yang perlu dihukum bunuh.
Pada ketika itu Hindun tidak  tersenarai dalam orang-orang yang perlu dihukum bunuh. Tidak juga Nabi  saw menyatakan kebencian dan dendamnya kepada Hindun malah sebaliknya  mengisytiharkan kepada umum bahawa sesiapa yang masuk ke dalam rumah Abi  Sufyan (juga merupakan rumah Hindun) untuk menyelamatkan dirinya, dia  terselamat dan mendapat keamanan. Pengisytiharan seperti ini membuktikan  dengan sejelas-jelasnya  bahawa Hindun atau Abu Sufyan tidak terlibat  sama sekali dalam pembunuhan Sayidina Hamzah apa lagi untuk dikatakan  beliau telah membelah perut Hamzah lalu memakan hatinya. Hindun seperti  juga ramai orang-orang Quraisy yang lain telah memeluk agama Islam,  selepas berbai’ah dengan Nabi saw dalam keadaan bersemuka dengan Nabi  s.a.w., beliau secara terbuka menyatakan perasaannya setelah memeluk  Islam terhadap Nabi saw. Kata beliau, “Wahai Rasulullah! Dulu tidak ada  manusia yang berkhemah di atas muka bumi ini lebih dipandang hina olehku  darimu tetapi hari ini tidak ada orang yang berkhemah di muka bumi ini  lebih ku kasihi darimu.
Lihatlah bagaimana beliau  menyatakan isihatinya terhadap Nabi saw dengan bersemuka dan lihatlah  pula apa jawapan Nabi saw dan bagaimana Nabi saw menyambut kata-katanya  itu. Dari kata-kata Nabi saw itu kiranya sirnalah segala tuduhan yang  dilemparkan oleh musuh-musuh Islam terhadap Hindun, ibu mertua Nabi saw,  ibu kepada Ummu Habibah dan juga ibu kepada Sayyidina Mu’awiyah.  Baginda saw lantas bersabda, “Ya, demikian juga aku. Demi Tuhan yang  nyawaku berada ditanganNya” ( Lihat Sahih Bukhari jilid 1 m.s. 539)
Ini bermakna Nabi saw juga kasih  kepada Hindun seperti mana Hindun mengasihinya. Malah untuk menyatakan  kasihnya yang sungguh-sungguh itu, Baginda saw bersumpah dengan Tuhan  yang nyawanya berada ditanganNya.
5.  Daripada dua riwayat berlainan kandungannya yang dikemukakan oleh dua  orang tokoh, Ibnu Ishaq dan Imam Bukhari, tergambar dengan jelas aliran  pemikirandan aqidah masing-masing. Yang pertama berfahaman Syi’ah yang  sememangnya membenci para sahabat dan memusuhi mereka sementara yang  kedua pula mengasihi sahabat seperti Rasulullah s.a.w. sendiri mengasihi  mereka.
6.  Ibnu Ishaq mendakwa mendapat cerita yang dikemukakannya dari Saleh bin  Kaisan yang lahir 70 tahun selepas peristiwa peperangan Uhud itu  berlaku. Imam Bukhari pula menerima riwayat yang dikemukakannya dengan  sanad yang bersambung-sambung dan tidak terputus. Perawi-perawinya  terdiri dari orang-orang yang kuat dengan isnad yang kuat dan tidak  terputus-putus. Imam Bukhari mengambil riwayat tentang pembunuhan Hamzah  dari pembunuhnya sendiri iaitu Wahsyi. Siapakah yang lebih boleh  dipercayai? Seorang yang mengambil riwayat dari orang yang lahir 70  tahun selepas kejadian atau orang yang meriwayatkan sesuatu peristiwa  dari orang yang menyaksikan sendiri peristiwa itu malah terlibat secara  langsung dalam peristiwa itu?
7.  Ibnu Ishaq dan kuncu-kuncunya sebenarnya mahu menanam rasa benci di  dalam hati ummah terhadap Sayyidina Muawiyyah yang telah memusnahkan  pergerakan musuh Islam selama pemerintahannya 20 tahun sebagai Gabenor  dan 20 tahun sebagai khalifah. Dia seolah-olahnya menghujah para pembaca  riwayatnya dengan cerita yang dikemukakan itu, iaitu Sayyidina Muawiyah  adalah seseorang yang jahat, kejam dan tidak berperikemanusiaan.  Kejahatan dan kekejaman itu bukanlah suatu yang baru bahkan ia adalah  suatu yang turun temurun diwarisinya dari ibunya yang telah sanggup  membelah perut Hamzah dan mengunyah hatinya, juga diwarisi dari ayahnya  yang merupakan kepala kafir Quraisy dalam peperangan Uhud itu. Inilah  sebenarnya motif yang telah melahirkan cerita ini ke alam nyata.
8.  Ibnu Ishaq sebetulnya mahu mencabar fikiran ummah dengan suatu alasan  di sebalik cerita yang dipersembahkan itu. Bahawa jika Wahsyi yang telah  melakukan suatu perkara yang lumrah berlaku dalam sesuatu peperangan  pun diminta oleh Nabi saw supaya tidak menunjukkan mukanya kepada  Baginda saw, bagaimanakah pula dengan orang yang telah membelah perut  Sayyidina Hamzah lalu mengunyah hatinya? Adakah mungkin Rasulullah saw  dapat menerima orang seperti itu? Kalau pun orang itu kemudiannya  memeluk agama Islam dan berbai’ah dengan Nabi saw tetap juga ada  kemungkinan bahawa Nabi saw menerima keislamannya secara taqiyyah!
Imam Bukhari mengemukakan hadis,  “Hindun menyatakan isihatinya kepada Rasulullah s.a.w. secara terbuka  dan bersemuka dengan Rasulullah s.a.w. seperti disebutkan tadi di bawah  bab ‘kelebihan Hindun Binti Utbah’. Apa yang Imam Bukhari mahu abadikan  melalui bab ini ialah Hindun bukan sahaja telah diterima keIslamannya,  bahkan beliau mempunyai kelebihan dan keistimewaannya tersendiri. Apa  yang dapat difahami secara mudah ialah sekurang-kurangnya beliau  merupakan mertua kepada Nabi s.a.w. dan ibu kepada Amirul Mukminin  Sayyidina Mu’awiyah bin Abu Sufyan itu sahaja pun bagi umat Islam bukan  alang kepalang keistimewaannya
Kita hanya manusia, dan manusia sering terlupa. Marilah mengingatkan sesama kita, moga berjumpa di syurga~

salam. thanks utk informasi yg sgt berguna. selama ni juz jd tukang dgr dan angguk aje.
Ya Allah, ampunkanlah dosa kami yg selama ini tlh membenci org yg xsepatutnya.
sy suka bc blog ni. thanks ya!